KESAN DARURAT KEPADA KEMERDEKAAN

 Persekutuan Tanah Melayu terus mengalami perkembangan politik dan juga perjuangan komunis. Pejuang kemerdekaan melalui saluran politik berusaha meyakinkan pihak pemerintah yang rakyat negeri ini telah mula bersatu melalui permuafakatan. Bagi PKM pula, percubaan untuk menghalang proses kemerdekaan melalui keganasan telah tidak berjaya. Namun ikhtiar masih diteruskan dengan menumpang dan mengembangkan pengaruh ideologi politik melalui parti politik berhaluan kiri seperti Parti Front Sosialis, Parti Rakyat, Parti Buruh, Parti Progresif Rakyat dan Parti Pemuda Sosialis. Dengan ini dapat di lihat PKM dan darurat telah menjadi penghalang kepada kelancaran proses kemerdekaan dan dalam masa yang sama telah memperkuatkan usaha untuk mendapatkan kemerdekaan tersebut.

Banyak kesan yang dapat di lihat daripada peristiwa pemberontakan PKM dan perlaksanaan darurat. Antaranya ialah :

1. Ketegangan Hubungan antara Kaum 

Peristiwa darurat telah melukakan kembali hati dan perasaan penduduk yang berbilang bangsa di Tanah Melayu yang mulai pulih selepas penjajahan Jepun. Ini disebabkan berlakunya beberapa peristiwa yang sengaja atau tidak dapat dielakkan daripada berlaku sepanjang masa darurat tersebut. Antaranya ialah:

(a) Prasangka Perkauman Memuncak 

Keadaan ini memperlihatkan satu suasana tegang antara orang Cina dengan orang Melayu. Kejadian pertama telah berlaku semasa zaman kekosongan dan diikuti pula peristiwa pemberontakan komunis ini. Sekali lagi dua bangsa yang mempunyai sejarah “pergaduhan” dihadapkan oleh suasana baru. Walaupun perjuangan komunis untuk memerdekakan Tanah Melayu, tetapi mereka terpaksa berhadapan dengan pasukan keselamatan penjajah yang terdiri daripada kalangan orang Melayu yang menganggapkan kerja mereka sebagai perjuangan mempertahankan tanah air daripada jatuh ke tangan komunis. Maka berjuanglah dua bangsa ini bagi matlamat yang berlainan, meskipun pada akhirnya menuju cita-cita yang satu, iaitu kedaulatan tanah air. 

Dalam perjuangan ini, daripada apa yang telah direkodkan, PKM telah kehilangan nyawa seramai 6,710 orang, tercedera dalam pertempuran seramai 2,819 orang, ditawan seramai 1,286 orang dan kehilangan anggota yang menyerah diri seramai 2,702 orang. Dari jumlah ini sebahagian besarnya ialah orang Cina. Di pihak pasukan keselamatan pula, anggota pasukan polis biasa yang terkorban dalam pertempuran ialah 511 orang manakala 701 orang lagi tercedera; Polis Khas: terkorban seramai 593 dan cedera 746 orang; Pasukan Polis Tambahan: terkorban seramai 242 orang dan cedera 154 orang. Pasukan Angkatan Tentera pula kehilangan nyawa dalam pertempuran atau diserang hendap seramai 519 orang dan 959 orang lagi tercedera. Hampir keseluruhan mereka yang terlibat ialah orang Melayu. Di samping kedua-dua pihak yang terlibat secara terus, ada pihak lain yang mengalami nasib sama, iaitu orang awam atau rakyat jelata. Seramai 2,473 orang telah terkorban, 1,385 orang tercedera, dan 818 orang lagi dilaporkan hilang tanpa dikesan akibat kekejaman dan keganasan komunis. Mereka menerima nasib malang ini akibat daripada tidak memberi kerjasama atau tidak mampu lagi untuk bekerjasama dengan PKM.

(b) Petempatan yang Berasingan 

Sejarah telah menyaksikan penjajah telah mengasing penduduk di sini. Peristiwa darurat sekali lagi menyaksikan kejadian yang sama apabila konsep kampung baru diperkenalkan. Dari jumlah 600 petempatan kampung baru tersebut, hanya sembilan peratus sahaja petempatan untuk orang Melayu dan empat peratus untuk orang India serta satu peratus untuk lain-lain kaum. Apa yang menebalkan permusuhan ini ialah dari segi kemudahan asas dan infrastruktur yang disediakan oleh kerajaan. Penduduk kampung baru yang hampir 500 petempatannya didiami oleh orang orang Cina mendapat semua kemudahan yang diperlukan. Manakala kampung Melayu tradisi yang berhampiran diabaikan oleh kerajaan. Ini menyebabkan orang Melayu terasa pihak mereka yang sentiasa memberi sokongan dan berkorban membantu kerajaan dalam menangani komunis diabaikan, sedangkan pihak yang membantu ataupun menjadi tali barut komunis diberi layanan yang baik. Ini belum mengambil kira perasaan mereka yang kehilangan keluarga yang terkorban dalam tugas pasukan keselamatan atau dibunuh oleh komunis. Semua ini telah menebalkan perasaan perkauman orang Melayu.

(c) Ketaatsetiaan yang Dipertikaikan 

Rasa marah dan kecewa orang Melayu terhadap orang Cina ditambah lagi akibat sikap yang ditunjukkan oleh belia-belia Cina dan India yang tidak menyahut seruan kerajaan dalam menentang komunis melalui Skim Kerahan Tenaga yang dilancarkan pada 21 November 1950. Skim ini telah mewajibkan penduduk yang berusia 20-30 tahun mendaftarkan diri menjadi anggota pasukan keselamatan. Apa yang berlaku antara bulan Februari hingga Ogos 1951 telah menyaksikan tidak kurang dari 10,000 pemuda dan belia Cina telah melarikan diri ke negeri China dan tidak kurang juga yang masuk hutan menyertai PKM. Hal yang sama dapat di lihat kepada pemuda India apabila dalam tempuh yang sama jumlah penumpang kapal ke India sentiasa meningkat. Hal inilah yang menimbulkan rasa kecewa orang Melayu dan juga kerajaan terhadap sikap mereka ke atas sikap mereka terhadap negeri ini yang hanya sekadar tempat untuk mencari kekayaan semata-mata. Walau bagaimanapun, ada uga pemuda Cina yang berjiwa patriotik apabila seramai 200 orang telah menyahut seruan berkhidmat dalam pasukan keselamatan, terutamanya pasukan polis. Angka ini adalah dari akhir tahun 1949 hingga tahun 1951.

(d) Hak Kewarganegaraan dan Berpolitik 

Kewarganegaraan merupakan isu yang sensitif. Ia adalah hak mutlak rakyat asal atau pribumi sesebuah negeri. Memberi kerakyatan yang membawa kepada persamaan taraf terhadap kaum imigran, merupakan satu pengorbanan yang semestinya diberi timbal balas. Setelah orang Cina diberikan hak kewarganegaraan, sekali lagi kerajaan menunjukkan sikap kasih kepada mereka dengan mendorongkan penubuhan MCA bagi menghilangkan prasangka atau prejudis “Cina itu Komunis, dan Komunis itu Cina”. Setelah kedua-dua ini diberi, rasa kasih mereka terhadap negeri ini masih lagi berbelah bagi sebagaimana yang diterangkan pada perenggan di atas. Rasa kecewa orang Melayu sekali lagi terasa setelah adanya orang-orang Cina di Pulau Pinang dan Melaka yang mahu terus menjadi warganegara Kerajaan Queen dan tidak mahu mencapai kemerdekaan bersama. Walau bagaimanapun, kelahiran MCA telah membawa satu kesan baik kemudiannya apabila pemimpin parti ini dapat duduk bersama dengan pemimpin nasionalis Melayu dalam Komiti Perhubungan Kaum yang akhirnya dapat menubuhkan gabungan parti-parti dalam PERIKATAN. 

2. Peruntukan Keselamatan yang Meningkat 

Darurat telah menyaksikan kerajaan membelanjakan sejumlah peruntukan yang besar bagi menangani pemberontakan komunis. Antara perkara yang ditumpukan ialah pembesaran dan menambah kekuatan pasukan keselamatan. Dalam tempoh darurat, jumlah anggota Pasukan polis diperkuatkan menjadi sejumlah 75,281 anggota dengan 31,164 orang pasukan Polis Biasa dan 44,117 orang Polis Khas. Seramai 86,000 orang lagi berkhidmat sebagai Polis Bantuan. Manakala Angkatan Tentera juga diperbesarkan dari empat kepada enam batalion Askar Melayu. Kerajaan juga telah menambah kekuatan menjadi dua batalion Tentera British, lima batalion Tentera Gurka dan penambahan satu skuadron Tentera Udara. Kekuatan pasukan keselamatan diperkuatkan lagi apabila kerajaan membawa masuk tentera Komanwel dari Australia, New Zealand dan Fiji. Kerajaan dikatakan pernah berbelanja antara $250,000.00 ke $300,000.00 sehari bagi tujuan keselamatan memerangi komunis. Untuk tujuan pertahanan, dianggarkan sebanyak $136,239,000.00 telah dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan. Ini tidak mengambil kira lagi perbelanjaan membina petempatan di kampung baru dan lain-lain perbelanjaan yang ditanggung oleh pelbagai jabatan dan agensi yang sama-sama turut membantu melumpuhkan kegiatan komunis setelah operasi keselamatan bukanlah satu-satunya jalan muktamad menghancurkan gerakan komunis. Secara keseluruhan, kira-kira $721.9 juta yang dibelanjakan telah merugikan kerajaan dan negara dalam dalam usaha mencapai kemerdekaan.

3. Ekonomi Negara Hampir Lumpuh 

Keganasan dan pembunuhan yang dilakukan oleh gerila komunis serta tindak balas pasukan keselamatan menjejaskan ekonomi negara. Akibat daripada ancaman dan gangguan komunis, banyak ladang getah dan lombong tidak dapat beroperasi dengan sempurna kerana pekerja menjadi takut. Komunis juga mengganggu mereka yang bercucuk tanam di tepi kampung atau pinggir hutan. Ini juga menjejaskan hasil sayuran dan tanaman. Apabila kerajaan melancarkan tindak balas memburu mereka, perintah berkurung terpaksa dilaksanakan. Sekali lagi para pekerja dan petani tidak dapat bekerja. Dengan ini hasil negara kian merosot dan kekurangan barang makanan kian meningkat. Bukan sahaja negara mengalami defisit, misalnya pada tahun 1953 sebanyak $1.46 juta malahan catuan makanan terpaksa dilakukan.

Catuan ini berpunca daripada kekurangan beras apabila orang Melayu tidak dapat mengusahakan sawah padi dan berhuma dipinggir hutan. Misalnya pada tahun 1948, kawasan tanaman padi ialah seluas 95,757 ekar. Keadaan ini telah berkurangan menjadi 67,465 ekar pada tahun 1951. Begitu juga dengan tanaman sayuran dan hasil pertanian lain tidak dapat ditambah atau dikeluarkan apabila petempatan berpindah ke kampung baru. Mereka terpaksa meninggalkan tanaman yang diusahakan kerana berpindah. Keadaan yang sama terjadi kepada usaha penternakan. Bagi orang Melayu, bersawah padi sering beriringan dengan memelihara kerbau ataupun lembu. Pada zaman ini penternakan turut juga terjejas setelah penduduk lebih mengutamakan keselamatan diri dan keluarga daripada menambahkan pendapatan sampingan.

4. Hubungan Baik 

Rahmat tersembunyi di sebalik keganasan komunis ialah wujudnya perhubungan yang baik antara para pekerja dan majikan. Para majikan mula merasakan kesan darurat ialah penguasaan pihak kominis terhadap kesatuan sekerja. Hal ini terjadi kerana sikap mereka yang mengabai dan tidak prihatin kepada pekerja yang telah memberi sumbangan kepada industri mereka dan juga ekonomi negara. Akibat seringnya berlaku krisis dan pemogokan pekerja, akhirnya mereka juga yang mengalami kerugian. Keadaan semakin tertekan setelah ramai pekerja hilang pekerjaan setelah ditangkap kerana terlibat dan bersimpati dengan komunis. Pekerja juga sering tidak dapat hadir bekerja kerana gangguan atau perintah berkurung. Kehilangan dan ketidakhadiran pekerja mahir tentu sahaja merugikan para majikan. Dengan itu, apabila suasana darurat telah beransur pulih, hubungan antara majikan-pekerja juga turut pulih sama. Majikan amat mengharapkan suasana baik ini supaya pekerja tidak lagi diresapi oleh anasir-anasir komunis.

Selain pekerja-majikan mendapat rahmat, parti politik yang bersemangat nasionalis kanan juga mendapat keuntungan setelah diwujudkan usaha menyatukan kaum-kaum yang ada. Misalnya, UMNO begitu lantang memperjuangkan kebajikan orang Melayu dan mengajak mereka bersatu bagi menentang komunis dan berusaha untuk mencapai kemerdekaan. Antara yang diperjuangkan ialah supaya lebih ramai pegawai-pegawai Melayu dilantik ke jawatan dan pangkat yang sewajarnya bagi menggantikan pegawai Inggeris yang telah tamat perkhidmatan. Turut sama diperjuangkan ialah menuntut supaya Kerajaan British memberi bantuan peruntukan sebanyak 10,000,000 juta pound atau kira-kira $85 juta bagi memajukan bidang pertanian dan ekonomi orang Melayu dalam tempoh lima ke sepuluh tahun. Walau bagaimanapun perkara ini tidak disentuh dengan mendalam dalam ruang ini kerana telah dibincangkan dengan ringkas di atas dan juga dalan perbincangan tajuk lain. Namun begitu, harus juga diingatkan, bagi parti yang bersifat nasionalis kiri , pada musim ini menghadapi nasib yang hampir sama dengan PKM setelah pergerakan serta aktiviti disekat dan pemimpinnya pula dipenjarakan atas alasan mengancam keselamatan negara.

Satu lagi perkara yang tidak kurang penting ialah terujinya kefahaman tentang Islam kepada orang Melayu. Orang Melayu yang sinonim dengan Islam telah berjaya mempertahankan akidah mereka apabila menolak bulat-bulat fahaman komunis yang tidak mempercayai wujudnya Tuhan. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh komunis seperti menyamar diri sebagai orang Islam oleh Chong Yin Nam dengan nama Haji Hashim untuk mempengaruhi orang Melayu, namun masih tidak berjaya memikat hati nurani mereka supaya berpihak kepada komunis. Sebaliknya beliau turut terbunuh kemudiannya. Begitu juga dengan penonjolan tiga tokoh komunis Melayu iaitu Abdullah C.D., Rashid Maidin dan Musa Ahmad tidak banyak membawa kesan. Mereka ini sendiri dikatakan lebih mengamalkan prinsip “Islam didahului, barulah Komunis”, sekurangkurang pada perkara yang melibatkan hal makan dan minum.








  

Comments