PERISTIWA DARURAT

 6.5.1 Kempen Awal 

Undang-undang darurat memberi banyak kuasa kepada kerajaan. Pada 23 Julai 1948 kerajaan mengharamkan PKM dan membuat tangkapan besarbesaran terhadap ahli, penyokong dan pihak yang bersimpati dengannya. Tidak kurang daripada 1000 orang berjaya ditangkap dan kerajaan mengenakan hukuman mati kepada mereka yang menyalahgunakan senjata api. Dalam tangkapan besar-besaran itu, tertangkap sama Liew Pit yang menjadi wakil Jawatankuasa Pusat PKM. Keadaan ini menyebabkan bertambah ramai ahli PKM melarikan diri ke hutan dan bermulalah perjuangan bersenjata secara rasmi apabila PKM mengisytiharkan ‘Perang Pembebasan Anti-British’.

Dalam keadaan tidak menduga yang kerajaan akan bertindak sebegitu keras dan persiapan yang masih belum lengkap, PKM masih lagi berjaya menghimpunkan kembali anggota-anggota MPAJA. Dengan kekuatan seramai kira-kira 12,000 orang, PKM berjaya membentuk sebanyak lapan rejimen yang dinamakan Tentera Rakyat Anti-British (Malayan People Anti-British Army – MPABA). Nama ini ditukarkan menjadi Tentera Pembebasan National Malaya (MRLA) pada bulan Februari 1948. Bagi mendekatkan mereka dengan rakyat, PKM membentuk sel-sel yang dikenali sebagai Min Yuen di kalangan anggota komunis. Mereka akan bertugas menjadi ejen untuk mendapatkan bekalan makanan, rekrut baru dan juga maklumat dari rakyat. Perkara ini amat perlu kepada perjuangan kerana kuasa darurat memperuntukkan banyak kuasa dan kelebihan bagi kerajaan bertindak.

Mengikut peraturan darurat, kerajaan diberi kuasa:

(a) Menahan sesiapa sahaja yang disyaki tanpa bicara dalam tempoh dua tahun. 

(b) Melarang sebarang penulisan, penerbitan dan penjualannya, atau melarang menyebarkan mana-mana dokumen, poster, sepanduk yang pada pandangan polis menimbulkan suasana menghasut. 

(c) Kerajaan boleh menduduki atau menggunakan mana-mana bangunan atau kenderaan bagi tujuan menjaga keamanan. 

(d) Membuat kawalan ke atas semua laluan jalan raya.  

(e) Menyurai sebarang bentuk perhimpunan. 

(f) Menguatkuasakan perintah berkurung. 

(g) Menangkap sesiapa sahaja yang disyaki tanpa waran. 

(h) Mengenakan hukuman mati kepada mereka yang menyalahgunakan senjata api. 

(i) Menghukum mana-mana individu yang sengaja membuat laporan palsu kepada polis. 

(j) Merampas sebarang perniagaan yang keuntungannya disalurkan kepada perjuangan komunis. 

(k) Menangkap semua penduduk yang kawasannya disyaki sebagai tempat menyalur sumber makanan, tenaga dan maklumat keselamatan kepada komunis. 

(l) Kerajaan boleh mengguna sebarang kekerasan terhadap rakyat yang tidak patuh dengan arahan penggunaan senjata api atau bagi tujuan untuk menangkapnya. 

(m) Memindahkan rakyat yang menggunakan atau menduduki tanah kerajaan.

Melihat kepada keadaan di atas, kelihatan PKM sedang berjuang menentang kerajaan Inggeris dan juga sebahagian besar rakyat yang telah dikepung dengan undang-undang darurat yang menyekat pergerakan mereka. Sebagai satu tindakan susulan agar perjuangan menubuhkan negara komunis di Tanah Melayu mencapai matlamatnya, simpati, sokongan, bantuan dan penyertaan orang Melayu amat diperlukan. Kesilapan masa lalu mahu diperbetulkan dengan mendekati kembali orang Melayu. Untuk tujuan itu, satu rejimen khas untuk orang Melayu ditubuhkan. Ia dinamakan Rejimen Kesepuluh yang beroperasi di Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang. Angka sepuluh itu diambil dari tarikh 10 Zulhijah (Hari Raya Korban) sempena dengan tarikh penubuhannya. Rejimen ini diletakkan di bawah pimpinan Abdullah C.D., dan Rashid Maidin.

6.5.2 Tindakan Awal Kerajaan 

PKM melancarkan operasi secara gerila. Mereka membuat gangguan, sabotaj dan keganasan, ugutan atau percubaan membunuh kepada penduduk ladang, pekerja lombong dan penduduk di kawasan terpencil. PKM juga sering melakukan serang hendap ke atas pusat kawalan kecil keselamatan mahupun semasa pasukan keselamatan menjalankan tugas rondaan. Operasi mereka adalah di kawasan terpilih tetapi menyeluruh. Di samping membuat gangguan kepada penduduk dan kerajaan, PKM meneruskan usaha mendapatkan sokongan, makanan, logistik, tenaga dan maklumat. Sebagai tindak balas terhadap operasi yang dilancarkan oleh PKM, kerajaan telah melancarkan beberapa tindakan mencegah, membendung dan mengawal agar ideologi dan pengaruh komunis dapat disekat dan tidak berkembang. 

1. Memperkuatkan Pasukan Keselamatan 

Keganasan yang dilakukan oleh PKM perlu dibendung bagi mengembalikan keyakinan rakyat. Pasukan keselamatan perlu diperkemas dan ditambah keanggotaan serta peralatannya. Ini sejajar dengan dasar keselamatan pada masa itu sebagai dasar bertahan kerana masalah kekurangan kekuatan anggota, kelengkapan logistik dan persenjataan. Bagi menambahkan kemampuan, kecekapan dan moral anggota polis yang seramai kira-kira 10,000 orang pada masa itu, mereka hanya dikerah menjalankan tugas untuk mempertahankan kawasan bandar atau kampung sahaja daripada diserang oleh komunis. Manakala pasukan tentera infantri yang sebanyak 10 batalion ditugaskan memburu musuh di pinggir atau dalam hutan. Ini bertujuan untuk menyekat jaringan perhubungan dan komunikasi serta memusnahkan pangkalan yang telah diwujudkan. Dalam masa yang sama untuk menghalang kewujudan pangkalan baru. 

Selain daripada menambahkan kekuatan dari segi jumlah anggota keselamatan, kerajaan juga berusaha mempertingkatkan banyak perkara dalam tugas keselamatan. Antaranya ialah meningkatkan kualiti kecekapan anggota. Tempoh latihan anggota rekrut telah ditambah dari enam bulan kepada lapan bulan bagi polis biasa. Ini bertujuan untuk membolehkan mereka mendapat latihan yang secukupnya berkaitan taktik melawan musuh secara perang gerila. Sistem perhubungan wayarles diperluaskan. Di samping itu, balai polis, pondok dan pos-pos baru diperbanyakkan di seluruh negara.

Satu lagi perkara penting dalam mempertingkatkan kekuatan pasukan keselamatan ialah terbentuknya Pasukan Sempadan (Frontier Force) yang bertugas bagi mengawal sempadan Tanah Melayu-Thailand. Tugas utama pasukan ini ialah untuk mengawal sempadan daripada menjadi tempat penyeludupan senjata dan mengawal penduduk daripada memberi kerjasama dengan komunis. Sebagai tindakan susulan, kerajaan telah mengadakan perjanjian dengan kerajaan Thailand bagi kerjasama menentang musuh bersama komunis. Kedua-dua kerajaan telah bersetuju membenarkan pasukan polis masuk ke kawasan jiran bagi tujuan memburu komunis sehingga ke tempat yang dihadkan. Perkara yang tidak kurang juga pentingnya dalam menangani komunis ialah tindakan kerajaan melaksanakan rancangan Pendaftaran Kebangsaan bermula pada bulan September 1948. Rancangan ini telah dilakukan dalam tempoh dua tahun dengan mencapai kejayaan. Dengan ini gerakan gerila komunis peringkat pertama telah dapat dikawal. 

Keupayaan kerajaan mengawal tindakan keganasan PKM bukanlah terletak semata-mata kepada faktor kekuatan pasukan keselamatan. Ia berkait rapat dengan tindakan komunis itu sendiri juga. Tindakan keganasan yang mereka lakukan terhadap masyarakat di ladang, lombong atau di kampung terpencil telah menyebabkan perjuangan mereka dibenci dan ditakuti. Lebih-lebih lagi tumpuan mereka ialah kepada orang Melayu dan majoriti anggota PKM pula terdiri daripada kaum Cina. Sentimen ini telah mengurangkan sokongan kepada mereka yang hanya mendapat sokongan satu kaum sahaja. Walau bagaimanapun sentimen ini juga berbalas apabila pasukan keselamatan mengambil tindakan yang keras terhadap penduduk yang disyaki dan tidak dapat memberi kerjasama yang memuaskan kepada kerajaan. Wujud juga sentimen antikekerasan yang dilaksanakan oleh kerajaan, terutamanya terhadap orang Cina di pinggir hutan atau kawasan pendalaman. Misalnya antara bulan Jun 1948 hingga Disember tahun yang sama, seramai 5097 orang telah ditahan tanpa bicara atau pertuduhan yang jelas. Kerajaan juga telah memusnahkan perkampungan Kachau di Selangor dan Pulai di pendalaman Kelantan kerana mereka tidak memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan. Secara kebetulan pula majoriti anggota pasukan keselamatan terdiri daripada kalangan orang Melayu. Jadilah keadaannya orang Cina membenci kerajaan, dan orang Melayu membenci komunis. Namun begitu, tindakan kerajaan memperkuatkan pasukan polis bagi mengawal bandar dan kampung serta tindakan tentera yang sentiasa memburu anggota komunis di pinggir dan di dalam hutan telah menjadikan kedudukan mereka semakin terancam dan terputus hubungan dengan massa. Dengan itu, PKM terpaksa mengurangkan gerakan keganasan mereka.

2. Rancangan Briggs 

Leftenan General Sir Harold Briggs ialah Pengarah Gerakan Tanah Melayu yang dilantik pada bulan April 1950. Beliau berpendapat bahawa komunis tidak boleh dihapuskan selagi adanya sokongan rakyat kerana gerakan PKM melibatkan ideologi dan kepercayaan. Baginya gerakan ketenteraan semata-mata tidak akan mampu mengatasi keganasan selagi mereka mendapat sokongan rakyat dari segi tenaga, makanan, logistik dan maklumat pergerakan pasukan keselamatan. Untuk itu beliau telah memperkenalkannya Rancangan Briggs bagi mengawal sokongan massa dan memutuskan hubungan mereka dengan komunis. Rancangan ini merupakan satu usaha bersepadu pasukan keselamatan meneruskan pemburuan dan memusnahkan komunis dan dalam masa yang sama rakyat “dimenangi hati dan perasaan” mereka (to win the hearts and minds of the people) untuk memberi sokongan dan kepercayaan kepada kerajaan. Untuk itu beberapa langkah yang telah dilaksanakan seperti memperkenalkan rancangan kampung baru, memperkukuhkan bidang perisikan dan beberapa rancangan lain yang akan dibincangkan seterusnya.

(a) Memperkenalkan Rancangan Kampung Baru 

 Konsep ini ialah menempatkan penduduk Cina yang tinggal bertaburan di pinggir-pinggir hutan atau perkampungan ke satu kawasan yang boleh dikawal. Ia dilaksanakan melalui undang-undang penempatan dalam Peraturan Darurat (Emergency Regulations). Pemindahan dan penempatan semula ini telah dilakukan secara besar-besaran dan segera di seluruh negara. Penempatan semula ini melibatkan lebih 650,000 penduduk dengan ditempatkan ke 600 petempatan baru yang dikenali sebagai Kampung Baru. Petempatan ini telah memakan masa selama  empat tahun dengan belanja AS$44.3 juta. Selain diberi kawalan, kampung ini diberi kemudahan asas kawasan perumahan dan kemudahan sosial yang diperlukan.

 Selain daripada mengumpulkan penduduk yang bertaburan di pinggir hutan, kerajaan juga mengumpulkan pekerja ladang dan lombong yang berselerak di kawasan baru yang mudah diberi kawalan atau perlindungan di tempat mereka bekerja. Misalnya, di kawasan ladang, mereka dikumpulkan dekat dengan kawasan jalan laluan utama masuk ke ladang dan tidak jauh dari kawasan pentadbiran. Manakala pekerja lombong pula mereka di tempatkan dekat dengan bandar atau pekan yang tidak jauh dari kawasaan lombong mereka. Dengan petempatan yang sebegini, menyebabkan perhubungan antara mereka dengan ejen, penyokong atau komunis sendiri dapat dikurangkan dan akhirnya terputus sama sekali kemudiannya.

(b) Memperkukuhkan Bidang Perisikan 

Dalam situasi berperang atau melawan gerila, perisikan merupakan alat terpenting bagi menangani musuh. Pada awal zaman darurat, badan perisikan Malayan Security Service (MSS) amat kecil dan kekurangan kakitangan. Ia juga sering bercanggah peranan dengan Jabatan Siasatan Jenayah (CID). Dengan itu, badan ini telah dibubarkan kemudiannya. Semua tugas perisikan dan siasatan diserahkan kepada CID. Namun CID lebih banyak memberi tumpuan kepada tugas siasatan dan membasmi jenayah. Bagi menangani masalah ini, Pengarah Gerakan telah melantik Guy C. Madoc mengetuai badan perisikan yang dinamakan Cawangan Khas (Special Branch – SB). Badan ini telah dijadikan sebahagian daripada pasukan polis yang tugasnya mengumpul, mengklasifikasikan, menilai dan menyebarkan maklumat komunis dan hal-hal keselamatan kepada pihak berkenaan. 

(c) Menubuhkan Pasukan Kawalan Keselamatan Tambahan 

Selain daripada menubuhkan pasukan SC, kerajaan juga telah menubuhkan Pasukan Kawalan Kampong (Home Guard). Pasukan yang diletakkan dibawah kawalan Angkatan Tentera ini berperanan menjaga keselamatan penduduk dan harta benda di kampung daripada pencerobohan dan gangguan komunis. Dengan cara ini sesebuah kampung akan mempunyai pasukan yang akan mempertahankan penduduknya dari gangguan atau serangan komunis sementara menanti bantuan dari balai polis berdekatan atau ketibaan pasukan tentera. Kerajaan juga menubuhkan satu sistem kawalan khas yang dinamakan Jawatankuasa Eksekutif Perang (War Executive Committees) yang melibatkan banyak jabatan kerajaan dari peringkat pusat sehingga ke peringkat daerah. Penempatan jawatankuasa ini sehingga ke peringkat yang terendah bagi memudahkan menempatkan pasukan keselamatan di sesuatu tempat dan kawasan. Jawatankuasa ini juga dapat mengintegrasikan pelbagai jabatan awam dengan tentera dan polis bagi membendung dan memerangai komunis.

(d) Mengistiharkan “Kawasan Hitam atau Putih” 

Penempatan penduduk ke kampung-kampung baru dan gerakan ketenteraan yang berterusan telah memutuskan perhubungan antara PKM dengan para penyokongnya. Dengan ini PKM telah mengubah strategi operasi atau corak perjuangan mereka. Mulai daripada bulan Ogos 1950 mereka telah mengurangkan tindakan mengganggu penduduk dan serangan ke atas pasukan keselamatan. PKM juga telah menyusun kembali gerakan mereka setelah bertambahnya ahli baru. Kejadian ini berpunca daripada ramainya pemuda Cina melarikan diri ke dalam hutan kerana tidak mahu turut serta dalam program kerahan tenaga setelah kerajaan melancarkan Skim Kerahan Tenaga pada 21 November 1950. Ada juga yang melarikan diri balik ke negeri China. Bagi PKM, kehadiran anggota baru sedikit sebanyak telah memberi tambahan kekuatan tenaga, tetapi mereka masih lagi kekurangan peralatan dan persenjataan.

Sebagai satu usaha, PKM telah melancarkan sekali lagi serangan besarbesaran bagi menggagalkan Rancangan Briggs, terutamanya petempatan Kampung Baru. Serangan ini dilakukan pada bulan Februari hingga Ogos 1951. Tumpuan mereka ialah orang kampung, balai dan pondok polis terpencil serta pasukan tentera yang membuat rondaan. Tindakan serangan hendap dan keganasan terhadap rakyat menambahkan lagi jurang antara mereka dengan penduduk. PKM mula merasa kecewa setelah orang Cina sendiri semakin merenggangkan diri daripada memberi sokongan dan bantuan.

Seterusnya PKM telah mengaturkan strategi baru dengan mendekatkan diri kepada masyarakat Orang Asli dan hanya mengganggu pasukan keselamatan sahaja. Tindakan ini juga tidak berapa berjaya kerana tidak banyak bantuan yang dapat diberikan oleh Orang Asli, dan kerajaan juga telah bertindak pantas memintas perhubungan mereka dengan Orang Asli. Pasukan keselamatan juga telah ditempatkan di perkampungan Orang Asli bagi memberi perlindungan dan mengambil hati mereka. Meskipun pada tempuh ini merupakan musim ‘menurun’ dalam perjuangan, namun PKM telah mencapai kemenangan moral setelah berjaya membuat satu serangan hendap dan dapat membunuh Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British di Bukit Frazer pada 6 Oktober 1951. Kejadian ini juga sebaliknya menjadikan mereka mendapat tekanan lebih besar lagi daripada pasukan keselamatan. 

(f) Pengiktirafan Politik dan Pentadbiran 

Kerajaan juga melihat ideologi dan perjuangan komunis mesti diatasi dengan cara politik, selain daripada operasi ketenteraan dan jentera pentadbiran. Pada masa ini sentimen perkauman begitu meluas. Rasa marah orang Melayu terhadap orang Cina dan komunis begitu menebal. Keadaannya seolah-olah disebutkan Cina sahaja tergambarlah kekejaman komunis dan disebut pula komunis, itulah orang Cina. Keadaan begini jika dibiarkan akan menambahkan lagi kerenggangan perhubungan antara kaum. Untuk itu kaum imigran mesti ditarik perhatian mereka supaya merasakan Tanah Melayu ialah negara mereka. Bagi menjayakan rancangan ini, beberapa program dilaksanakan yang antaranya ialah :

(i) Melalui penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, hak kewarganegaraan telah diperluaskan kepada kaum imigran yang telah tinggal berterusan selama lapan tahun dan boleh berbahasa Melayu atau Inggeris serta sanggup memberi ketaatan kepada Tanah Melayu. 

(ii) Orang bukan Melayu digalakkan menubuhkan parti politik mereka sendiri. Melalui sokongan kerajaan, parti bagi orang Cina ditubuhkan dengan diberi nama Malayan Cinese Association (MCA) pada bulan Februari 1949. Manakala orang India telah menubuhkan Malayan Indian Congress (MIC) terlebih awal lagi. 

(iii) Tanah Melayu akan diberi taraf bekerajaan sendiri sebelum mencapai kemerdekaan. Justeru itu beberapa langkah awal telah dibuat seperti menubuhkan Jawatankuasa Perhubungan Kaum (Communities Liaison Committee) pada tahun 1949, memperkenalkan Sistem Ahli (Membership System) pada tahun 1951, memperkenalkan pilihanraya peringkat bandaran di negeri-negeri dan memerdekakan Tanah Melayu dalam masa yang terdekat.

3. Rundingan Baling

Akibat tekanan daripada pelbagai penjuru oleh kerajaan, PKM merasakan corak dan cara perjuangan harus disesuaikan kembali pada tahun 1955. Perjuangan bersenjata dan kekerasan tidak lagi praktikal kerana pasukan keselamatan telah diperbesar dan diperlengkapkan, para penyokong dan yang memberi simpati telah dikawal serta sebahagian besar rakyat telahpun selesa dengan sistem dan peraturan yang kerajaan laksanakan. Lagipun, pada peringkat negara sekeliling dan antarabangsa telah memperlihatkan satu kompromi atau usaha damai antara perjuangan komunis dengan demokrasi. Misalnya di Indochina dan di Korea telah diadakan gencatan senjata pada tahun 1951 dan 1953 lagi. Perjuangan pemberontakan Huk di Filipina telah ditewaskan pada tahun 1954, dan pemimpin utama komunis Russia Khruschev telah menyarankan supaya diwujudkan suasana aman damai (peaceful coexistence), dan komunis China telah menyuarakan tidak akan membantu lagi perjuangan PKM semasa Sidang Bandung tahun 1955. Semua ini telah mempengaruhi arah tuju dan perjuangan PKM.

Satu lagi peristiwa dalam negeri yang mengubahkan pendirian mereka ialah Pilihanraya Umum Persekutuan Tanah Melayu pada Julai 1955. Bagi menyelamatkan maruah daripada gagal dalam perjuangan bersenjata, PKM merasakan perlu bagi mereka untuk turut serta dalam pilihanraya tersebut. Dengan ini mereka telah menawarkan untuk mengadakan perundingan dengan pemimpin-pemimpin politik. Dalam keadaan kesibukan mengadakan pilihanraya, tidak dapat diaturkan sebarang pertemuan. Lagipun, setiap pertemuan dengan PKM harus mendapat kelulusan pihak kerajaan. Setelah Tunku Abdul Rahman (Tunku) dilantik menjadi Ketua Menteri pada 31 Julai 1955, beliau telah mendapat kebenaran kerajaan bagi memberi pengampunan kepada PKM yang menyerahkan diri mulai 9 September 1955. Namun tawaran ini tidak menarik perhatian anggota PKM yang mana mereka mahu keluar dari hutan dengan cara yang lebih terhormat.

Sehubungan itu, satu perundingan yang dikenali sebagai Rundingan Baling telah berlangsung selama dua hari pada 28 dan 29 Disember 1955. Rundingan ini telah diadakan di Dewan Persidangan di pekan Baling, Kedah. Persidangan pertama berlangsung pada jam 1415. Wakil kerajaan diketuai oleh Tunku dengan ditemani oleh David Marshall (Ketua Menteri Singapura) dan Tan Cheng Lok. Manakala PKM diketuai oleh Chin Peng dan dibantu oleh Chen Tien (menjadi penghubung PKM dalam menjayakan pertemuan perundingan) dan Abdul Rashid Maidin. Dari apa yang digambarkan oleh Tunku bahawa Chin Peng tidak bersedia menerima syarat menyerah diri dan meletakkan senjata. Meskipun Tunku memberinya peluang untuk tidak tergesa-gesa memberi jawapan, namun beliau terus bertegas tidak dapat menerima tawaran tersebut dalam pertemuan kedua pada esoknya. Bagi pihak Tunku pula, beliau tidak dapat menerima tuntutan PKM untuk menyerah diri dan meletakkan senjata tanpa syarat dan dibenarkan partinya bergerak sebagai parti politik yang sah. 

Oleh kerana terdapat perbezaan matlamat dan cita-cita perjuangan, maka perundingan itu berakhir dengan tidak mendapat sebarang keputusan yang jelas dan dianggap gagal. Bagi Tunku, pengampunan yang diberi sebagai jalan penyelesaian kepada perjuangan PKM yang menakutnakutkan dan keganasan pada rakyat bukannya cara terbaik untuk menghalau penjajah. Ini disebabkan penjajah telah bersetuju untuk memberikan kemerdekaan dan beliau dalam tempoh yang terdekat akan berangkat ke London bagi merundingkan tarikh dan syarat kemerdekaan. Kebebasan bergerak bermakna memudahkan PKM mendampingi rakyat bagi mengembangkan ideologi komunis yang telah ditolak oleh hampir keseluruhan rakyat. Chin Peng pula melihatkan pengampunan sebagai satu kegagalan dalam perjuangannya menghalau penjajah yang selama ini diperjuangkannya. Mereka lebih mengharapkan perundingan ini untuk mendapatkan kerjasama pemimpin politik bagi sama-sama menghalau penjajah. Mereka mempunyai hasrat atau matlamat yang tersembunyi, iaitu setelah berjaya menghalau penjajah, mudahlah bagi mereka mengambil semula negara ini kerana mereka mempunyai kekuatan ketenteraan dan para pendokong perjuangan.

Semasa perundingan berlangsung, kawalan keselamatan diperketatkan bagi menjamin tidak berlakunya sebarang kejadian buruk. Pihak 132 keselamatan dan PKM telah bersetuju mengadakan genjatan senjata bagi membolehkan pihak PKM keluar mengiring dan memerhati perkembangan perbincangan. Apa yang menariknya perbincangan ini telah berjalan dengan suasana tenteram tanpa sebarang gangguan. Pihak PKM yang mengiringi wakil mereka telah dibenarkan berjalan-jalan di pekan Baling dan membeli keperluan makanan di pasar. Ini kerana Chin Peng meminta penyediaan makanan untuk mereka disediakan sendiri selain daripada makanan dalam tin kegunaan tentera yang disediakan untuk mereka.

Kegagalan rundingan ini telah diduga. Pihak kerajaan sebenarnya tidak begitu merestui rancangan Tunku memberi pengampunan dan mengadakan perundingan. Atas usaha yang telah dibuat, Tunku berjaya mendapat kebenaran mengadakan perbincangan itu bagi sekurangkurangnya untuk melihat dan menilai perjuangan sebenar PKM. Selain pihak kerajaan, akhbar-akhbar diseluruh dunia turut tidak yakin dengan hasil perundingan itu nanti. Bagi mereka Tunku seperti memperjudikan nasib negara dan masa depan politiknya apabila mengadakan perundingan tersebut. Memang tepatlah seperti apa yang diduga.

PKM tidak berputus asa. Ada usaha untuk mengadakan rundingan kedua setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Usaha ini ditolak oleh Tunku kerana yakin negara akan dapat mengatasi masalah komunis. Setelah gagal dengan usaha ini, bermakna untuk meneruskan perjuangan melalui saluran politik yang sah telah tertutup. Untuk meneruskan perjuangan dengan kekerasan pula telah tidak berkemampuan setelah ramai anggota terkorban dan kurangnya sokongan daripada rakyat. Dengan itu, Chin Peng telah mengarahkan para anggota dan penyokongnya di hutan supaya mengelakkan diri daripada bertembung dan bertempur dengan pasukan keselamatan. Tujuannya bagi mengelakkan anggota yang terlatih daripada terkorban dan dalam masa yang sama dapat menyusun strategi dan mempertingkatkan lagi latihan. Dalam masa yang sama PKM berusaha untuk memanjangkan lagi suasana darurat yang boleh melambatkan proses pembangunan dan menyusahkan rakyat setelah banyak peruntukan disalurkan kepada pasukan keselamatan. Bagi komunis, apabila negara menjadi lemah dan mundur, mudahlah rancangan jangka panjang mereka dapat dilaksanakan melalui kaedah pengeksploitasian isu semasa.

  




Comments