SEBELUM PERISTIWA DARURAT
6.4.1 Pengalaman Zaman Kekosongan
PKM dan MPAJA mendapat banyak pengalaman yang berguna dan membantunya semasa zaman Jepun. Kekalahan Jepun akibat daripada serangan bom atom di Hiroshima pada 6 Ogos dan serangan di Nagasaki pada 9 Ogos 1945 menyebabkan berlakunya zaman kekosongan di Tanah Melayu apabila tentera Jepun menyerah kalah dan pentadbiran Inggeris belum lagi sampai kerana peperangan ditamatkan dalam masa yang tidak dijangka. Melihat kepada keadaan yang sedemikian PKM dan MPAJA telah merayakan kemenangan. Gerila yang berpangkalan di hutan telah keluar ke bandar-bandar bagi merayakan kemenangan. Mereka juga bertindak menawan beberapa balai polis dan melakukan kekejaman membunuh orang Melayu bagi membalas dendam terhadap mereka yang dianggap bersubahat dengan Jepun. Akhirnya berlaku tindak balas yang menyebabkan terjadinya rusuhan kaum di beberapa tempat di Tanah Melayu seperti di Kampong Bekor, Manong, Kuala Kangsar dan Sungai Maniak di Perak serta di Batu Pahat, Johor5 . Suasana ini berlangsung kira kira dua minggu. Peristiwa inilah yang telah menyebabkan imej PKM tercemar di kalangan orang Melayu yang akhirnya tidak mendapat sokongan mereka. Keadaan ini menyebabkan mereka berbelah bagi sama ada untuk menentang kedatangan semula Inggeris atau memberikan kerjasama. Akhirnya, PKM memutuskan untuk bekerjasama dan meneruskan perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu melalui saluran perlembagaan atau politik.
Ketibaan Pentadbiran Tentera British (BMA) pada September 1945 telah diterima semula oleh PKM dan penduduk. Tugas utama BMA ialah untuk memulihkan kembali keamanan dan ketenteraman rakyat. Bagi tujuan itu, BMA telah meminta pasukan MPAJA yang dianggarkan seramai 10,000 orang dibubarkan pada 1 Disember 1945. Mereka diberi ganjaran wang sebanyak RM300 seorang tanpa mengira pangkat dan dijanjikan untuk dibantu mendapatkan pekerjaan bagi memulakan penghidupan baru. Ramai yang bersetuju menyerah diri dan banyak senjata serta peralatan logistik yang dibekalkan oleh kerajaan semasa Jepun diserah kembali. Namun begitu masih ramai juga yang tidak mahu menyerah diri dan banyak juga peralatan ketenteraan mereka yang masih tersimpan di dalam hutan. Kumpulan ini adalah pasukan rahsia PKM yang tidak pernah terlibat dengan sebarang kerjasama. Hal keadaan ini haruslah difahami kerana PKM mempunyai muslihat tersendiri sejak mereka bekerjasama pada tahun 1940 lagi.
Pembubaran MPAJA tidak bermakna PKM telah memutuskan hubungan mereka sesama sendiri. Kelompok ini masih disatukan melalui Persatuan Bekas Tentera Anti-Jepun Rakyat Tanah Melayu (MPAJA Ex-Comrades Association). Matlamatnya ialah bagi menjaga kebajikan ahli dan dalam masa yang sama untuk terus meletakkan mereka di bawah pengawasan dan pengaruh parti.
6.4.2 Zaman Malayan Union dan Pengisytiharan Persekutuan Tanah Melayu
Pelaksanaan Malayan Union bermakna kerajaan mahu meneruskan cengkamannya terhadap Tanah Melayu dalam bentuk penjajahan yang lebih nyata. Ini bermakna kerajaan akan mengetepikan PKM yang mengharapkan untuk berkongsi kuasa memerintah. Inilah harapan mereka semasa memberi kerjasama awal dan menerima kedatangan semula kerajaan. Tindakan sedemikian telah menyebabkan PKM memperkukuhkan lagi kedudukannya dalam arena politik tanah air.
Melalui “strategi bandar” dari model Revolusi Rusia tahun 1917 dan usaha menguasai pertubuhan buruh, PKM melancarkan gerakannya sebagai sebuah parti politik yang sah. Dengan pemulihan kesatuankesatuan sekerja yang digabungkan di bawah Kesatuan Sekerja Umum (General Labour Union), PKM memainkan semula peranan lama mereka. Dari strategi pentadbiran pula, PKM mengguna serampang dua mata dengan meletakkan Loi Teck dan Chin Peng sebagai pemerintah gerakan bawah tanah, Liew Yit sebagai ketua jawatankuasa politik, dan Lau Yew mengetuai jawatankuasa tentera yang menguruskan pentadbiran di ibu pejabat parti Kuala Lumpur. Dalam masa yang sama, PKM meneruskan perhubungan dengan BMA. Dengan ini usaha tetap diteruskan bagi mendapat sokongan masyarakat menerusi organisasi depannya Malayan Democratic Union (MDU) yang ditubuhkan pada 21 Disember 1945. Dengan kerjasama organisasi politik lain dan kesatuan sekerja, PKM telah memperkukuhkan badan utamanya Barisan Bersatu untuk menuntut kemerdekaan. PKM mengharapkan BMA akan berkompromi dengan tuntutan mereka setelah menghentikan perjuangan secara militan bagi menegakkan Republik Komunis Tanah Melayu.
Apabila dilancarkan “kertas putih” mengenai Malayan Union (MU) pada bulan Januari 1946, MDU menerimanya kerana ada syarat longgar mengenai kewarganegaraan tetapi mendesak kerajaan memasukkan sama Singapura. Apabila kerajaan terpaksa menangguhkan MU atas desakan orang Melayu dan tidak menerima cadangan MDU serta tidak membawa mereka dalam perundingan perlembagaan baru, PKM bertindak dengan mencadangkan di tubuh satu Barisan Bersatu Baru bersama-sama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Dewan Perniagaan Cina bagi menentang kerajaan. Hasilnya tertubuhlah Majlis Tindakan Bersama (Council of Joint Action) pada 14 Disember 1946 yang kemudiannya diberi nama Pan Malayan Council of Joint Action (PMCJA). Tujuan PMCJA adalah berunding dengan kerajaan mengenai isu memasukkan Singapura, taraf kerakyatan dan hak menubuhkan kerajaan sendiri.
PMCJA kemudiannya bergabung dengan PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat) yang kemudiannya membentuk gabungan PMCJA-PUTERA. PUTERA adalah hasil daripada gabungan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) yang bergabung dengan PKMM yang keluar dari PMCJA. Atas faktor kewangan, akhirnya PUTERA terpaksa bergabung semula dengan PMCJA. Dalam gabungan 121 ini, peranan PKM ialah meresapkan ideologi mereka untuk membentuk sebuah negara merdeka berideologi komunis. Tamparan hebat pada gabungan ini apabila kerajaan menolak Cadangan Perlembagaan Rakyat yang mereka kemukakan pada bulan Oktober 1947 agar Tanah Melayu diperintah secara demokrasi. Kegagalan ini merupakan kegagalan strategi komunis untuk mendapat kuasa memerintah negeri ini.
PKM terpaksa mengambil strategi kedua iaitu menggunakan pertubuhan buruh dan kesatuan sekerja yang berada di bawah gabungan Pan Malayan Federation of Trade Unions (PMFTU). Mereka telah mendalangi beberapa pemogokan di Tanah Melayu dan Singapura dengan menghasut pekerja membuat tuntutan kepada majikan yang kebanyakannya orang Eropah. Kerajaan pula bertindak balas dengan mengawal dan membuat sekatan terhadap kesatuan-kesatuan dan menuduh PKM menjadi dalang dan penggeraknya. Atas kekecewaan tidak dapat bergerak bebas lagi dan tidak mahu ditangkap, seramai kira-kira 3,000 anggota komunis terpaksa melarikan diri ke hutan. Mereka telah melancarkan tindakan propaganda, intimidasi (ugutan) fizikal, pemerasan, kekacauan atau gangguan, penganiayaan (sabotaj) dan pembunuhan. Perang gerila di hutan juga dilancarkan. Tindakan ini dibuat atas arahan komunis antarabangsa yang bersidang di Culcutta pada 19 – 25 Februari 1948 dan sebelumnya di Prague pada 1947 dan di London pada awal 1948, yang menetapkan supaya mencetuskan revolusi bagi menentang kezaliman imperialis dan golongan reaksioner di setiap negeri di Asia.
Satu lagi faktor yang menggerakkan tindakan revolusi ialah pertukaran pucuk pimpinan PKM dari Loi Teck kepada Chin Peng pada bulan March 1947. Pada masa itu beliau ialah Pengerusi PKM negeri Perak yang bersikap militan kerana peranannya dalam perang gerila semasa Jepun dan bersama Force 136. Satu lagi faktor ialah pengisytiharan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 yang merupakan satu tamparan hebat dan kekalahan kepada perjuangan golongan kiri yang menjadi dokongan PKM.
Sebagai memenuhi arahan yang ditetapkan di Culcutta, Chin Peng telah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Singapura pada 21 March 1948. Keputusannya difahamkan ialah menubuhkan Republik Soviet Komunis Tanah Melayu secara keganasan dan bersenjata. Tarikh pelancaran pemberontakan akan ditentukan berdasarkan perkembangan dan peristiwa semasa. Namun usaha-usaha awal telah dijalankan sebagaimana yang dinyatakan dalam perbincangan di atas. Menjelang bulan Jun 1948, keadaan menjadi semakin tegang. Tindakan mogok dan ancaman keselamatan semakin serius. Dilaporkan dalam satu sidang akhbar Pesuruhjaya Tinggi Sir Edward Gent pada 13 Jun menyatakan telah berlaku sepuluh kejadian pembunuhan dan tiga kes serangan ke atas 122 pengurus ladang getah di seluruh negara dalam beberapa hari ini. Dianggarkan dari bulan Oktober 1945 hingga Disember 1947, sebanyak 191 kejadian pembunuhan berlaku dan dalam masa enam bulan pertama tahun 1948, sebanyak 107 kejadian lagi. Kejadian begini berterusan. Pada 16 Jun, tiga orang peladang Inggeris telah dibunuh di Sungai Siput, Perak. Atas desakan tuan punya ladang dan juga lombong-lombong yang menjadi tumpuan utama gerakan komunis menyebabkan Pesuruhjaya Tinggi mengisytiharkan darurat6 ke seluruh negara pada hari yang sama berpandukan undang-undang BMA (Essential Regulation Proclamation). Apabila Rang Undang-undang Peraturan Darurat (Emergency Regulation Bill) diluluskan oleh Sidang Majlis Perundangan (Legislative Council) pada 5 Julai 1948, undang-undang BMA di atas telah dibatalkan.
Comments
Post a Comment