PKM DALAM ZAMAN JEPUN

 

Penglibatan Jepun dalam PDK dan slogan “Asia Untuk Asia” banyak memberi manfaat kepada PKM. Ini dapat di lihat melalui beberapa peristiwa yang berlaku. Setelah berjaya mendapat pemimpin yang berdedikasi, PKM pula berpeluang bekerjasama dengan kerajaan. Melalui perjanjian yang ditandatangani pada 8 Disember 1940, PKM menerima tawaran untuk bekerjasama bagi menentang Jepun. Sebagai ganjaran, kerajaan akan melatih rekrut-rekrut baru pilihan PKM dalam peperangan secara gerila atau gerakan bawah tanah. Intisari lain perjanjian ini ialah 

(a) Kerajaan akan membebaskan semua anggota PKM yang ditangkap dan ditahan pada 15 Disember 1941. 

(b) PKM akan menyatukan semua rakyat bagi menentang Jepun dan mempertahankan Tanah Melayu bersama British. 

(c) Membasmi semua gerombolan sayap kelima (Fifth Colummiist); ejen musuh dan pembelot. 

(d) Semua anggota parti dan rakyat akan dilengkapi dengan senjata untuk menentang kemaraan Jepun. 

(e) Menubuh pasukan gerakan bawah tanah bagi menentang Jepun melalui keganasan.

Sama ada perjanjian ini membawa kerjasama sepenuhnya ataupun ada muslihat lain dapat di lihat secara tidak langsung melalui perbincangan seterusnya. Sebagai memenuhi perjanjian, PKM berjaya mengumpul 200 orang pemuda Cina yang terpilih untuk dihantar ke Singapura dan dilatih di Sekolah Latihan Khas 101 (101 Special Training School). Kumpulan inilah yang kemudiannya menjadi pemangkin (nucleus) kepada Kumpulan Tentera Anti-Jepun Rakyat Tanah Melayu (Malayan People’s AntiJapanese Army – MPAJA). Isi kandungan lain perjanjian telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat PKM pada 21 Disember 1941 setelah anggota mereka dibebaskan oleh kerajaan pada 15 Disember.

Kekuatan dan kecekapan Jepun berperang tidak mampu diatasi oleh kerajaan dan pasukan PKM. Setelah mendarat di Kota Bahru, Kelantan, pada 8 Disember dan mengalahkan pertahanan kerajaan di Jitra, Kedah, menjadikan arah mara mereka ke selatan melalui dua laluan semakin mudah. Akhirnya Jepun sampai ke Singapura pada 8 Februari dan berjaya menakluki Tanah Melayu dan Singapura pada 15 Februari 1942. Kemenangan Jepun hanya memberi kekalahan kepada kerajaan dan tidak PKM. Melalui cawangan militannya iaitu MPAJA, komunis semakin mendapat perhatian dan sokongan masyarakat Cina. Kelompok yang memberi sokongan kuat ialah mereka yang teraniaya oleh keganasan Jepun dan terpaksa melarikan diri ke pinggir-pinggir hutan untuk meneruskan kehidupan..

Sepanjang tempoh tiga tahun penjajahan Jepun, MPAJA telah berjaya menambahkan keanggotaan mereka menjadi seramai 7000 orang. Sokongan ini tidak mengambil kira lagi pihak yang memberi sokongan dan simpati. Dalam usaha menentang Jepun, didapati MPAJA sering mengelak daripada mencetuskan peperangan secara berhadapan atau terbuka bagi mengelakkan kemalangan jiwa dan kerugian logistik. Tumpuan diberikan kepada pengumpulan maklumat dan membuat serang hendap. Bagi pihak PKM pula mereka meneruskan usaha memantapkan organisasi dan merekrut ahli bagi menentang Jepun dan kemudiannya sebagai persiapan menghadapi Inggeris apabila mereka kembali semula.

PKM dan MPAJA mendapat rangsangan baru di akhir penjajahan Jepun apabila kerajaan melancarkan perang gerila melalui Pasukan 136 (Force 136) yang mula beroperasi pada Mei 1943. Pada peringkat ini, operasi mereka hanya tertumpu kepada usaha untuk mendapat dan mengumpulkan maklumat. Pihak pemerintah Force 136 di Colombo begitu bangga dengan maklumat dan perjuangan yang telah dibuat oleh MPAJA. Sebagai satu tindakan susulan hasil daripada perundingan dengan Loi Teck dan Chin Peng (pemimpin PKM negeri Perak), pihak kerajaan dan Force 136 telah bersetuju untuk melatih gerila MPAJA dan memberi bantuan makanan serta peralatan logistik. Melihat kepada perkembangan semasa, Pemerintah British Asia Tenggara (The British South East Asia Command) menetapkan supaya dapat menduduki kembali Tanah Melayu menjelang bulan November 1945.

Dengan kehadiran Force 136, MPAJA banyak melakukan serangan ke atas Jepun. Keadaan ini bukan sahaja memperkuatkan kekuatan mereka malah telah menambahkan lagi pengalaman anggotanya dari segi teknik dan taktik peperangan gerila. Setiap kejayaan dalam serangan akan menambahkan lagi nama baik dan sokongan masyarakat kepada MPAJA, terutama daripada kalangan yang amat bencikan Jepun. Oleh yang 118 demikian, penjajahan Jepun telah dapat memantapkan lagi organisasi PKM dan cawangan militannya, MPAJA. Namun satu keadaan baru telah muncul apabila keanggotaannya dimonopoli oleh orang Cina (terlalu sedikit militan Melayu yang terlibat dalam MPAJA setelah pendudukan Jepun) dan pihak yang dikatakan menjadi tali barut Jepun ialah orang Melayu. Sebenarnya mereka ini ditugaskan oleh Jepun untuk menjadi polis ataupun polis rahsianya yang dikenali sebagai kempetai. Walau bagaimanapun, dalam keadaan kehidupan yang susah dan berlakunya penindasan, maka ramai juga yang sanggup menjadi perisik upahan demi sesuap nasi atau jaminan kehidupan semasa. Inilah kemudiannya memberikan satu kesan yang buruk kepada Tanah Melayu setelah Jepun menyerah kalah.


 








Comments