Pergerakan Berorganisasi
Pengharaman ke atas kesatuan sekerja dan penangkapan pemimpinnya tidak mematikan perjuangan dan penyebaran ideologi komunis. Ini kerana Liga Belia masih dapat bergerak walaupun ada tekanan dan halangan. Dengan ini pengaruh komunis tidak berjaya disekat, malahan 114 bertambah mantap. Bagi meneruskan perjuangan, akhirnya komunis memerlukan sebuah parti yang boleh menggerakkan perancangannya. Parti Komunis Malaya (PKM) berjaya ditubuhkan pada 30 April 1930 dengan Fu Ta Ching menjadi Setiausaha Agungnya yang pertama. Kelahiran PKM turut sama melahirkan kembali kesatuan sekerja dan diberi nama Kesatuan Sekerja Umum Malaya (Malayan General Labour Union). Sekali lagi fokus komunis ialah pekerja dan kaum buruh yang dikatakan sering tertindas oleh majikan. Dalam tempuh setahun, PKM mengaku telah mempunyai ahli seramai 1500 orang, 50 anggota wanita yang aktif, 10,000 anggota kesatuan sekerja yang dikuasai dan 200 orang anggota Liga Anti-Imperialis.
Melalui pertubuhan yang berorganisasi ini, PKM bukan sahaja memberi tumpuan kepada orang Cina yang ramai menganggotai kesatuan sekerja dan pertubuhan buruh, malahan cuba mengembangkan pengaruh kepada seluruh masyarakat Tanah Melayu. Ini sejajar dengan hasrat mereka untuk menubuhkan sebuah republik komunis Tanah Melayu. Bagi tujuan tersebut, sokongan orang Melayu dan bangsa lain amat diperlukan. Namun usaha ini sekali lagi gagal apabila orang Melayu tidak dapat menerima ideologi komunis3 . Dengan itu kekallah PKM sebagai parti yang mirip kecinaan kerana keseluruhan pemimpin dan ahlinya terdiri daripada orang Cina.
Sokongan terhadap PKM semakin meningkat apabila Jepun menyerang Manchuria pada 1931. Atas semangat kenegerian, mereka telah mengeksploitasi sentimen ini untuk meraih sokongan dengan menganjurkan beberapa siri tunjuk perasaan dan rusuhan anti-Jepun. Apabila ada masyarakat Cina menubuhkan Tabung Bantuan Perang dan Persatuan Tentera Pembebasan Nasional (National Salvation Army Association), PKM memberi sokongan yang akhirnya berjaya mempergunakan mereka pula. Melalui eksploitasi semangat bencikan Jepun, pertubuhan ini telah ditukar nama menjadi Liga Anti-Imperialis Malaya (The Malayan Anti-Imperialist League). Tindakan-tindakan sedemikian menyebabkan ramai daripada pemimpin mereka ditangkap termasuklah Setiausaha Agung dan Joseph Ducroix, ejen Comintern di Singapura.
PKM berjaya berkembang dan mendapat sokongan kerana keadaan semasa itu. Antaranya ialah berlaku kemelesetan pada tahun 1929 hingga awal 1930an, peristiwa serangan Jepun ke atas Manchuria pada 1931 dan diikuti dengan serangan dan penaklukan Jepun ke atas China pada tahun 1937. Seterusnya sikap majikan yang “tidak mesra pekerja” atau dalam kata lain lebih menekan dan mengeksploitasi tenaga pekerja. Meskipun setelah ekonomi pulih, majikan masih enggan memberi layanan sepatutnya terutama dalam soal kenaikan gaji. Keadaan ini memudahkan 115 komunis menghasut untuk melakukan pemogokan di ladang getah, lombong bijih dan arang batu. Seperti di Singapura, terdapat juga pemogokan di Selangor dan Negeri Sembilan yang berakhir dengan pertempuran.
Faktor keempat ialah PKM berjayanya dipulihkan dengan munculnya tokoh baru dalam memimpin parti. Pada tahun 1935, atas usaha Loi Teck seorang anggota komunis yang berasal dari wilayah Annam telah berjaya menyusun kembali jentera dan disiplin parti. Melaluinya, usaha menubuhkan beberapa organisasi tempatan dan sel-sel dalam parti telah dapat diwujudkan. Tumpuan mereka masih lagi kepada kaum buruh dan para pekerja. Kemuncak kejayaan Loi Teck ialah apabila dilantik menjadi Setiausaha Agung parti pada tahun 1939.
Faktor kelima ialah PKM sekali lagi berusaha membuka pintu dan bekerja keras menarik kaum lain menjadi anggotanya. Keadaan ini sejajar dengan perkembangan semasa bila mana puak-puak radikal telah muncul di kalangan orang Melayu. Meskipun tidak ada bukti jelas yang mereka menyertai PKM, namun arah tuju perjuangan hampir sama iaitu menghalau penjajah dari bumi Tanah Melayu. Walaupun tidak berjaya mendapat sokongan dari orang Melayu, PKM melalui kerjasama dengan pihak bukan komunis telah berjaya menempatkan diri dalam Barisan Bersatu Pergerakan Pembebasan Nasional (National Salvation Movement) yang di tubuh khas bagi menentang imperialis Jepun. Melalui pertubuhan ini, PKM berjaya mempertingkatkan lagi kekuatannya.
Faktor seterusnya ialah faktor semasa yang memerlukan wujudnya kerjasama antara PKM dengan kerajaan. Keadaan ini berlaku kerana suasana politik semasa itu. Akibat daripada meletusnya Perang Dunia Kedua (PDK) pada tahun 1939 di Eropah, telah menjadikan komunis Rusia sebagai angkatan bersekutu kepada Inggeris. Penglibatan Jepun pula dalam peperangan itu di sebelah Asia sekali lagi memaksa kerajaan mencari jalan untuk berbaik-baik dengan PKM. Dengan itu, kelihatan seperti PKM dan kerajaan saling memerlukan. Kerajaan perlukan PKM untuk sama-sama mempertahankan Tanah Melayu yang akan diserang oleh Jepun, dan PKM memerlukan pengiktirafan kerajaan demi untuk mengesahkan kewujudan dan perjuangan mereka. Oleh yang demikian, apabila adanya arahan dari pihak komunis antarabangsa, PKM telah akur dan memberi sokongan kepada kerajaan.
Comments
Post a Comment